Dalam bidang pendidikan khususnya, perubahan akan terus berlaku kerana bidang pendidikan itu adalah dinamik. Kurikulum sentiasa sahaja mengalami perubahan dan penambahbaikan dari semasa ke semasa. Misalnya, amalan MS ISO 9000 yang suatu ketika dahulu hanya diamalkan dalam sektor korporat kini mula digunakan dalam organisasi pendidikan. Begitu juga dengan penggunaan ICT dalam pembelajaran dan pengisian markah secara online mula diperkenalkan di sekolah-sekolah. Kalau kita renung dari mula kita bersekolah hingga kini terlalu banyak perubahan yang berlaku.
Strategi Perubahan
Antara strategi perubahan yang berlaku dalam organisasi ialah:
- Strategi Kekuasaan
Pihak pentadbir akan menggunakan autoriti formal dan kawalan untuk memaksa ahli-ahli di bawahnya mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan. Misalnya, penguatkuasaan waktu masuk kerja dan balik. Pelbagai kaedah digunakan seperti kad perakam waktu atau cap jari (thumb print). Bagi memastikan peraturan ini diikuti, konsep ganjaran dan tindakan disiplin diamalkan.
- Strategi Pujukan
Dalam melaksanakan strategi ini, seorang ketua harus memiliki kemahiran interpersonal bagi menyakinkan kumpulan sasaran atau ahli-ahlinya. Setiap perubahan yang ingin dilakukan perlu dirancang dengan teliti dan dapat diterima oleh mereka. Misalnya, amalan penjimatan penggunaan kertas atau elektrik dalam organisasi. Memang tidak ada paksaan untuk melakukannya. Jadi, kejayaan dan pengamalan budaya ini bergantung kepada sejauh mana seorang ketua sebagai agen perubahan berjaya mempengaruhi orang bawahannya.
- Strategi Pendidikan Semula
Sebagai ketua, beliau harus mendorong kumpulannya melakukan refleksi atau berfikir sejenak tentang tindakan yang telah diambil dan sejauhmana tindakan tersebut menemukan kejayaan dan kegagalan. Sebagai contoh, kita ambil kes yang sama seperti di atas. Ahli kumpulan harus membuat refleksi tentang implikasi mengamalkan budaya penjimatan kertas atau elektrik kepada organisasi itu sendiri. Banyak baik atau buruk ?
- Strategi Memudah Cara
Dalam kes ini kumpulan sasaran akan menentukan rancangan yang dipilih oleh mereka dan agen perubahan akan menyediakan sumber-sumber yang diperlukan. Tindakan ini adalah untuk memastikan bahawa tiada sebarang halangan kepada kumpulan sasaran untuk meneruskan perubahan yang dirancang. Contohnya, guru di kelas Pendidikan Khas Masalah Penglihatan memilih untuk melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer untuk kemahiran menulis; maka pihak sekolah hendaklah berusaha mendapatkan kemudahan tersebut.
No comments:
Post a Comment