Latar belakang
Pada Oktober 2011, Kementerian Pendidikan Malaysia melancarkan kajian
semula sistem pendidikan negara secara menyeluruh dalam usaha
membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang baharu. Tujuan
utama kajian semula ini dibuat dalam konteks standard pendidikan
antarabangsa yang kian meningkat, peningkatan aspirasi negara dalam
mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi keperluan abad ke-21, dan
peningkatan harapan ibu bapa serta masyarakat terhadap dasar pendidikan
negara.
Objektif
Pelan ini dibangunkan dengan tiga objektif khusus, iaitu:
- Memahami prestasi dan cabaran semasa sistem pendidikan Malaysia dengan memberi tumpuan terhadap akses kepada pendidikan, meningkatkan standard (kualiti), merapatkan jurang pencapaian (ekuiti), mengukuhkan perpaduan dalam kalangan murid, serta mengoptimumkan kecekapan sistem.
- Mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas untuk setiap murid dan sistem pendidikan secara keseluruhan bagi tempoh 13 tahun akan datang.
- Menggariskan transformasi sistem pendidikan yang komprehensif merangkumi perubahan penting dalam Kementerian bagi memenuhi permintaan baharu dan harapan tinggi masyarakat, serta mencetus dan menyokong transformasi perkhidmatan awam.
- Akses
100% enrolmen merentas semua peringkat pendidikan daripada prasekolah hingga menengah atas menjelang 2020.
- Kualiti
Negara dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa dan PISA dalam tempoh 15 tahun.
- Ekuiti
50% pengurangan dalam jurang pencapaian (bandar - luar bandar, sosioekonomi, gender) menjelang 2020.
- Perpaduan
Sistem pendidikan yang menawarkan perkongsian pengalaman dan nilai kepada kanak-kanak dengan menghargai kepelbagaian
- Kecekapan
Sistem yang memaksimumkan keberhasilan murid mengikut peruntukan sedia ada.
Aspirasi terhadap Murid
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) adalah berasaskan aspirasi
alsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah menyediakan pendidikan seimbang
untuk setiap murid. Pelaksanaan pelan ini adalah merujuk kepada sistem
pendidikan yang berprestasi tinggi bagi membina kemahiran khusus dan
atribut kepada murid sebagai persediaan menghadapi cabaran pembangunan
ekonomi dan globalisasi.
PPPM ini telah menggariskan enam ciri-ciri utama yang menjadi asas aspirasi bagi setiap murid di negara ini.
Rajah 6.1 : Aspirasi murid
- Pengetahuan
Di peringkat paling asas, setiap kanak- kanak perlu menguasai sepenuhnya
kemahiran literasi dan numerasi. Selain itu, penting bagi setiap murid
menguasai mata pelajaran teras seperti Matematik dan Sains. Murid juga
perlu didedahkan kepada pengetahuan am yang menyeluruh tentang Malaysia,
Asia, dan dunia dari aspek sejarah, manusia, dan geografi. Murid juga
digalakkan mengembangkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang lain
seperti seni, muzik, dan sukan.
- Kemahiran Berfikir
Setiap murid akan belajar cara memperoleh ilmu pengetahuan sepanjang
kehidupan mereka (menerapkan perasaan ingin tahu dan mengamalkan
pembelajaran sepanjang hayat) untuk membolehkan mereka menghubungkan
pelbagai disiplin ilmu dan mencipta ilmu yang baharu. Setiap murid perlu
menguasai pelbagai kemahiran kognitif termasuk penaakulan dan pemikiran
kritis, kreatif, serta inovatif. Bidang ini kurang diberi perhatian,
menyebabkan murid kurang berupaya untuk mengaplikasi ilmu pengetahuan
dan berfikir secara kritis di luar konteks akademik.
- Kemahiran Memimpin
Dalam dunia yang semakin saling berhubung kait, kebolehan untuk memimpin
dan bekerja dengan orang lain secara berkesan adalah amat penting.
Sistem pendidikan negara akan membantu setiap murid mencapai potensi
sepenuhnya dengan mewujudkan peluang yang formal dan tidak formal untuk
bekerja dalam pasukan dan mengamalkan ciri kepimpinan. Dalam konteks
sistem pendidikan, kepimpinan merangkumi empat dimensi, iaitu
keusahawanan, berdaya tahan, kecerdasan emosi, dan kemahiran
berkomunikasi dengan berkesan.
- Kemahiran Dwibahas
Setiap kanak-kanak akan menguasai bahasa Malaysia sebagai bahasa
kebangsaan dan bahasa perpaduan serta bahasa Inggeris sebagai bahasa
komunikasi antarabangsa sekurang-kurangnya pada tahap minima. Dengan
tahap penguasaan bahasa ini selepas menamatkan persekolahan, murid
sepatutnya berupaya menggunakan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris
dalam persekitaran kerja. Di samping itu, Kementerian akan menggalakkan
semua murid mempelajari bahasa lain sebagai bahasa tambahan.
- Etika dan Kerohanian
Sistem pendidikan akan memupuk etika dan kerohanian dalam diri setiap
murid bagi mendepani cabaran yang akan ditempuhi dalam kehidupan dewasa,
agar mereka boleh menyelesaikan konflik secara harmoni, bijak membuat
pertimbangan, berpegang kepada prinsip ketika berada dalam situasi yang
kritikal, serta berani melakukan sesuatu yang betul. Sistem pendidikan
juga berhasrat untuk membentuk individu penyayang yang dapat menyumbang
kepada kesejahteraan komuniti dan negara.
- Identiti Nasional
Identiti nasional yang kukuh melalui penghayatan prinsip Rukun Negara,
diperlukan untuk kejayaan dan masa depan Malaysia. Setiap murid akan
berbangga dikenali sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama
atau status sosioekonomi. Semangat patriotik perlu dipupuk dalam diri
setiap murid dengan cara memahami sejarah negara, dan berkongsi aspirasi
yang sama untuk masa depan negara. Demi mewujudkan identiti nasional
yang sebenar, semangat keterangkuman yang teguh amat diperlukan.
Identiti nasional akan dapat dicapai bukan hanya belajar memahami dan
menerima kepelbagaian, tetapi juga menghayati kepelbagaian.
Sebelas Anjakan Utama Untuk Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara
Kementerian telah mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi
menghasilkan perubahan yang dihasratkan oleh semua rakyat Malaysia.
Setiap anjakan perlu memberi impak kepada sekurang-kurangnya satu
daripada lima keberhasilan sistem, iaitu akses, kualiti, ekuiti,
perpaduan, dan kecekapan. Kualiti menjadi fokus utama merentasi semua
anjakan kerana kualiti merupakan dimensi penting yang perlu diberikan
perhatian segera. Sebahagian daripada anjakan ini merupakan perubahan
strategi dan hala tuju pendidikan. Anjakan yang lain merupakan perubahan
pelaksanaan dalam cara Kementerian dan sekolah melaksanakan dasar sedia
ada. Sama ada perubahan bersifat strategi atau pelaksanaan, semuanya
menggambarkan anjakan daripada amalan semasa. Sebelas anjakan tersebut
adalah :
- Anjakan 1: Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidika berkualiti bertaraf antarabangsa.
- Anjakan 2: Memastikan setiap murid menguasai kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dan digalakkan mempelajari bahasa tambahan.
- Anjakan 3: Melahirkan rakyat yang menghayati nilai.
- Anjakan 4: Mentransformasi profesion keguruan menjadi profesion pilihan.
- Anjakan 5: Memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.
- Anjakan 6: Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan.
- Anjakan 7: Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.
- Anjakan 8: Mentransformasi kebolehandan keupayaan penyampaian Kementerian.
- Anjakan 9: Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti, dan sektor swasta secara meluas.
- Anjakan 10:Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit.
- Anjakan 11:Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban awam secara langsung.
6.8.6 Urutan Anjakan Transformasi
Berdasarkan keperluan membina kebolehan dan keupayaan sistem pendidikan
negara, Kementerian telah menyusun transformasi yang akan dilaksanakan
dalam tiga gelombang; gelombang satu, gelombang dua dan gelombang tiga.
Rajah 6.2 : Gelombang transformasi
Kementerian memberi penekanan kepada menambah baik sistem dengan
mempercepatkan perubahan kaedah pelaksanaan program. Dalam tempoh
pelaksanaan ini, tumpuan akan diberikan kepada kaedah peningkatan
kualiti pengajaran dengan meningkatkan kemahiran guru sedia ada di dalam
sistem, meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah dengan memperbaiki
pendekatan pelantikan dan melatih pengetua/guru besar, dan meningkatkan
kadar literasi (bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dan numerasi
menerusi program pemulihan yang intensif). Kementerian juga akan
mengukuhkan dan memberi pengupayaan kepada pegawai di peringkat negeri
dan daerah untuk meningkatkan kualiti sokongan yang diberikan kepada
kumpulan barisan hadapan ini bagi membantu semua sekolah. Menjelang
akhir Gelombang 1, Kementerian akan memastikan semua guru, pengetua/guru
besar dan sekolah mencapai tahap minimum standard kualiti yang
dihasratkan. Antara inisiatif Kementerian dalam Gelombang 1 adalah:
- Meningkatkan standard pengajaran melalui bimbingan guru secara khusus terutamanya dalam mata pelajaran teras (Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains).
- Mereka bentuk semula soalan peperiksaan supaya lebih menjurus kepada soalan kemahiran berfikir aras tinggi.
- Mengukuhkan kualiti pendidikan STEM melalui pengukuhan kurikulum, pengujian dan latihan guru, dan penggunaan model pembelajaran pelbagai mod (blended learning).
- Melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Bahasa Malaysia SJK yang direka bentuk untuk murid yang bahasa ibundanya bukan bahasa Malaysia.
- Mengukuhkan penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris melalui pengujian dan latihan semula guru, memperluas LINUS, dan menyediakan sokongan pemulihan serta model pembelajaran pelbagai mod (blended learning).
- Melaksanakan 1BestariNet ke semua sekolah untuk mengintegrasi ICT dalam pembelajaran harian.
- Melaksana Program Transformasi Daerah dengan tumpuan kepada sekolah berprestasi rendah termasuk murid berkeperluan khusus untuk memacu prestasi sekolah.
- Merombak IPG dan latihan praperkhidmatan dan meningkatkan standard kemasukan bagi guru baharu.
- Mewujudkan pembimbing pengetua/guru besar yang berdedikasi untuk sekolah Band 5,6 & 7 dan mengukuhkan kriteria pemilihan untuk pemimpin sekolah bagi meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah.
- Mentransformasi Kementerian dengan meletakkan pemimpin terbaik untuk menerajui jawatan penting di JPN dan PPD bagi meningkatkan prestasi sistem penyampaian.
- Meningkatkan enrolmen prasekolah dan sekolah menengah melalui kempen galakan enrolmen, lebih pelibatan ibu bapa, dan program vokasional yang lebih baik.
- Mengukuhkan praktikum dalam program vokasional melalui peningkatan kerjasama dengan sektor swasta.
Dalam tempoh Gelombang 2, Kementerian akan melaksanakan perubahan
struktur sistem pendidikan negara untuk mempercepatkan perjalanan
perubahan (rancangan untuk semua inisiatif akan bermula semasa Gelombang
1). Perancangan ini melibatkan pergerakan kesemua 410,00 guru dan
10,000 pengetua/guru besar kepada pakej kerjaya baharu, penstrukturan
semula Kementerian, JPN dan PPD untuk menjajarkan dengan peranan yang
direncanakan menerusi Gelombang 1, dan memperkenalkan Kurikulum Standard
Sekolah Menengah dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah yang disemak
semula dalam usaha menangani kebimbangan mengenai pengetahuan, kemahiran
dan nilai untuk maju sesuai dengan perkembangan ekonomi dunia hari ini.
- Melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) semakan semula bagi meningkatkan standard kandungan dan pembelajaran setanding dengan standard antarabangsa.
- Menarik minat dan kesedaran masyarakat dalam STEM melalui kempen dan kerjasama.
- Merintis pilihan program untuk meningkatkan pendedahan kepada bahasa Inggeris, dan mengukuhkan penyediaan bahasa tambahan dalam usaha menambah baik penguasaan kemahiran bahasa secara menyeluruh.
- Mengukuhkan program untuk kumpulan berkeperluan khusus seperti kumpulan peribumi dan kumpulan minoriti lain, pintar cerdas, dan berkeperluan khas.
- Memacu inovasi ICT khususnya untuk pembelajaran jarak jauh dan pembelajaran terarah kendiri.
- Meningkatkan bimbingan dan sokongan kepada guru bagi penambahbaikan penyampaian pengetahuan, kemahiran, dan nilai merentasi semua aspek kurikulum dan kokurikulum.
- Meningkatkan kompetensi dan kemajuan berdasarkan prestasi serta memantapkan laluan kerjaya guru untuk mencergaskan semula profesion keguruan.
- Mengukuhkan bahagian utama Kementerian, menyusun semula peranan Kementerian, JPN dan PPD untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan pelaksanaan.
- Memperoleh akreditasi antarabangsa dan memantapkan kurikulum program matrikulasi sebagai persediaan murid ke universiti.
- Memperluas pilihan pendidikan vokasional melalui perjanjian pelaksanaan dengan pembekal pendidikan vokasional swasta.
Pada permulaan Gelombang 3, semua sekolah, guru dan pengetua/guru besar
perlu menunjukkan prestasi melebihi standard minimum. Oleh itu,
Kementerian akan memberikan tumpuan kepada meningkatkan keluwesan
operasi untuk memupuk budaya kepimpinan rakan setugas bagi pembangunan
kecemerlangan profesional.
Kementerian juga akan menganjakkan kebanyakan sekolah kepada model
pengurusan berasaskan sekolah dan membangunkan model kejayaan sekolah
berdasarkan inovasi dalam pengajaran. Matlamat Kementerian adalah untuk
membangunkan sistem pengekalan kemajuan kendiri yang mampu untuk
mencetuskan inovasi dan meningkatkan pencapaian yang lebih tinggi.
- Meningkatkan inovasi dan pilihan bagi meningkatkan penguasaan kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris secara berterusan dan menyediakan lebih banyak pilihan untuk mempelajari bahasa tambahan.
- Melaksanakan program dan inovasi ICT bagi kumpulan berkeperluan khusus di seluruh negara untuk meningkatkan standard pembelajaran secara berterusan.
- Memupuk budaya kecemerlangan profesional keteladanan rakan setugas, iaitu guru dan pemimpin sekolah saling membimbing, berkongsi amalan terbaik, dan memastikan rakan setugas mempunyai kebertanggungjawaban memenuhi standard profesional.
- Mempertingkat pengurusan berasaskan sekolah dan autonomi dari segi pelaksanaan kurikulum dan pengurusan kewangan bagi kebanyakan sekolah yang layak, sekiranya tidak kepada semua sekolah.
- Memperkasa Kementerian dan menginstitusikan transformasi melalui pengukuhan kemajuan kerjaya pegawai Kementerian.
- Mengkaji semula penstrukturan sekolah untuk menentukan sekiranya wujud keperluan untuk mengoptimumkan laluan dan pilihan persekolahan.
No comments:
Post a Comment