Sunday, 9 August 2015

ADAPTASI PELBAGAI INOVASI DAN PERUBAHAN PENDIDIKAN

Seiring dengan perubahan masa pelbagai inovasi dan perubahan telah berlaku dalam sistem pendidikan di negara kita. Program yang dianggap sesuai pada masa dahulu, kini dilihat sudah tidak relevan lagi dengan perkembangan semasa. Dalam usaha membentuk rakyat yang mampu berdaya saing, maka dasar yang baru perlu diadaptasi dalam sistem pendidikan di negara kita. Amalan adaptasi itu merangkumi aspek-aspek berikut: 


Latihan Perguruan
 
Pembentukan modal insan guru bergantung yang berkualiti bergantung kuat pada sistem latihan perguruan. Antara perubahan dalam latihan perguruan ialah menaik taraf Maktab Perguruan kepada Institut Pendidikan Guru.

Perubahan dari Maktab Perguruan ke Institut Perguruan

  • Pada tahun 2004 27 nama maktab perguruan dan 1 English Language Teaching Centre telah ditukar kepada Institut Pendidikan Guru selepas dinaik taraf.
  • Pada tahun 2005 Jemaah Menteri telah meluluskan 27 Maktab Perguruan dinaik taraf kepada Institut Pendidikan Guru (IPG) yang boleh menganugerahkan ijazah Sarjana Muda Perguruan dan B.Ed. pada 13 Julai 2005
  • Pada tahun 2006 pengisytiharan naik taraf Maktab Perguruan kepada Institut Pendidikan Guru. Pengisytiharan ini membolehkan IPG melaksanakan Program Pensiswazahan Guru seperti Program Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah (PGSR), latihan praperkhidmatan kepada guru sekolah rendah melalui Kursus Perguruan Lepasan SPM (KPLSM) seperti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dan B.Ed TESL.
  • Pada tahun 2009 Y.A.B Menteri Pelajaran, Dato’ Hishamuddin Tun Hussein telah mengisytiharkan secara rasmi semua Institut Perguruan di Malaysia dikenali dengan nama Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM)

Dari aspek pengurusan berlaku pemisahan fungsi antara IPGM dengan BPG. IPGM akan memberi fokus kepada latihan praperkhidmatan manakala BPG akan menumpukan fokus kepada urusan latihan dalam perkhidmatan. IPGM juga diletakkan di bawah penyeliaan terus KPM manakala BPG kekal di bawah penyeliaan TKPPM (Profesional Keguruan).

 
 
Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) Dengan Kepujian
 
Program ini dibuka kepada bakal-bakal guru ini terdiri yang daripada pelajar Kursus Perguruan Lepasan SPM (KPLSPM). Pelajar ini dipilih oleh BPG berdasarkan beberapa temu duga dan ujian. Pelajar yang lulus peringkat persediaan sahaja akan ditawarkan untuk menyambung Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di IPG.

PISMP adalah satu program latihan perguruan praperkhidmatan untuk melatih guru sekolah rendah yang berijazah di bawah sistem pendidikan kebangsaan. Program ini menawarkan 15 kursus di 27 buah IPGM. Program ini mula ditawarkan pada ambilan Jun 2005 kepada 2000 orang pelajar. Mereka dikehendaki mengikuti kursus persediaan selama tiga semester di IPG yang ditetapkan sebagai prasyarat untuk mengikuti program PISMP. Secara rasminya kohort pertama program PISMP ini bermula pada ambilan Januari 2007. Para pelajar akan dianugerahkan ijazah dengan kepujian setelah mengikuti pengajian sekurang-kurangnya 8 semester di IPGM

Matlamat program ini adalah untuk melahirkan guru sekolah rendah yang berkualiti dari segi penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran, dan ketrampilan profesionalisme dalam bidang masing-masing selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru. Sepanjang tempoh pengajian, pelajar-pelajar ini akan didedahkan dengan kurikulum yang akan membentuk insan guru yang mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
  • Bersifat dinamik, relevan, futuristik, responsif, holistik, dan bersepadu.
  • Konsep “the personhood of teachers” dan pendekatan humanistik akan diberi fokus.
  • Aplikasi teori untuk membina insan guru yang dapat menangani cabaran sebagai pendidik.
  • Bersifat koheren antara pengajaran berkesan (effective learning) dan pengalaman klinikal (clinical experience).
  • Menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.
Kurikulum Pendidikan Guru yang digubal turut mengutamakan kemahiran insaniah dan pelbagai kemahiran yang lain. Perspektif global berkaitan dengan pendidikan juga diambil kira seperti Education For All (EFA), Education for International Understanding (EIU), Education for Sustainable Development (ESD), dan juga empat tonggak pendidikan UNESCO (Pillars of Education). Fokus hasil pembelajaran yang hendak dicapai sepanjang selama empat tahun pengajian adalah dari segi:
  • Etika Profesional
  • Pengetahuan dan Kefahaman
  • Kemahiran Intelek
  • Kemahiran Praktikal
  • Kemahiran Kebolehpindahan
  • Penghayatan dan Amalan Nilai
 
 
 
Program Pensiswazahan Guru

Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah (PGSR)
Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Staf Kementerian Pelajaran bertarikh 5 Februari 2007 telah meluluskan program PGSR di IPG menggunakan mod Latihan Pensiswazahan Berasaskan Sekolah (LPBS) dengan syarat guru mengikuti pengajian di IPG pada hujung minggu atau cuti semester tanpa meninggalkan sekolah; mendapat gaji penuh; tidak dikenakan yuran pengajian dan dianugerahkan Sarjana Muda Pendidikan di akhir pengajian. Program PGSR merupakan satu saluran utama untuk guru bukan siswazah meningkatkan taraf pendidikan ke peringkat ijazah pertama. Ijazah yang diperoleh membolehkan mereka dilantik ke gerd DG 41.

Program Pensiswazahan Guru (PPG)
Pihak KPM bersama-sama dengan Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri telah mencadangkan supaya semua guru yang layak akan disiswazahkan dalam tempoh RMKe-10 (2011-2015) melalui Program Pensiswazahan Guru (PPG). BPG telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi urus setia pada peringkat KPM bagi pelaksanaan program tersebut.

Mesyuarat Pengurusan KPM Bil. 16/2010 pada 29 September 2010 telah meluluskan Cadangan Pelaksanaan PPG di bawah RMKe-10. Sasaran KPM adalah untuk memastikan bahawa 60% guru sekolahrendah dan 90% guru sekolah menengah adalah terdiri daripada guru-guru siswazah menjelang tahun 2015. Semua PPLD yang berumur di bawah 47 layak memohon dan mengikuti PPG. Dianggarkan jumlah guru yang akan mengikuti program ini hampir 100,000 orang yang terdiri daripada 8,686 orang guru sekolah rendah dan 91,171 orang guru sekolah menengah.

PPG mendapat tajaan biasiswa dengan ikatan kontrak dan menggunakan mod pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PJJ). Tempoh pengajian akan memakan masa antara tiga tahun setengah hingga empat tahun. Pelajar-pelajar program ini ditempatkan di Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK) 40%, Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) 40% dan Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) 20%. Penganugerahan ijazah akan diberikan oleh institusi pengajian masing-masing.
 
 
 
Kurikulum Transformasi
 
Dalam bahagian perbincangan akan berfokus pada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang telah dilaksanakan pada tahun 2011. Transformasi kurikulum sekolah rendah merupakan penyusunan semula dan penambahbaikan kurikulum persekolahan rendah sedia ada. Tujuan transformasi adalah untuk memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa bagi menghadapi cabaran abad ke-21.Secara ringkas bentuk KSSR ini dapat dirumuskan seperti berikut:
  • Hasrat KSSR berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. KSSR juga mengguna pakai empat tonggak pendidikan UNESCO, iaitu belajar untuk mengetahui (learning to know), belajar untuk bertindak (learning to do), belajar untuk hidup bersama (learning to live together) dan belajar untuk membentuk peribadi (learning to be).
  • Prinsip KSSR berasaskan prinsip KBSR iaitu pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, pendidikan saksama untuk semua murid dan pendidikan seumur hidup.
  • Konsep tunjang yang diperkenalkan dalam KSSR, merupakan satu bentuk pengklasifikasian bidang ilmu, kemahiran dan nilai. Konsep ini berfokus kepada pembentukan modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.
  • Memberi penekanan kepada 4M iaitu kemahiran membaca, menulis, mengira dan menaakul. Pada Tahap I, pengajaran dan pembelajaran menekankan penguasaan asas 4M. Pada Tahap II, penekanan diberikan kepada pengukuhan dan aplikasi kemahiran 4M.
  • Diorganisasikan dalam bentuk modular dengan mengelompokkan mata pelajaran dalam kumpulan tertentu yang dikenali sebagai Modul Teras Asas, Modul Teras Tema dan Modul Elektif.
  • Penambahbaikan Kurikulum Pendidikan Khas yang melibatkan tiga cabang utama iaitu Masalah Pembelajaran, Masalah Penglihatan dan Masalah Pendengaran.
  • Dalam memantapkan kualiti pelaksanaan KSSR, elemen yang baharu telah ditambah iaitu Kreativiti dan Inovasi, Keusahawanan, serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
  • KSSR digubal dalam bentuk pernyataan Standard. Kandungan dan Standard Pembelajaran yang perlu dicapai oleh murid dalam suatu tempoh dan tahap persekolahan.
  • Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) merupakan transformasi daripada sistem yang menumpukan kepada ujian pencapaian dan peperiksaan kepada sistem yang lebih holistik. Komponen PBS dalam sistem pentaksiran kebangsaan merangkumi:
  • Pentaksiran Sekolah
  • Pentaksiran Pusat
  • Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum
  • Pentaksiran Psikometrik

 
 
Sekolah Berprestasi Tinggi
 
Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) ditakrifkan sebagai sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti yang tersendiri dan unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan. Sekolah ini mempunyai tradisi budaya kerja yang sangat tinggi dan cemerlang dengan modal insan nasional yang berkembang secara holistik dan berterusan serta mampu berdaya saing di persada antarabangsa. Rasional penubuhan SBT adalah untuk mengangkat kualiti sekolah-sekolah terbaik, menghasilkan murid cemerlang dan merapatkan jurang antara sekolah dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Pemilihan sekolah untuk pengiktirafan SBT akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pemilihan SBT yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM). Proses pemilihan SBT akan melalui tiga proses saringan. Untuk memahami proses saringan itu, anda diminta merujuk laman web berikut: http://www.moe.gov.my/upload/galeri_awam/pekeliling/1288585406.pdf. Selepas melepasi proses saringan, pihak kementerian telah menetapkan kriteria yang diambilkira dalam pengiktirafan SBT iaitu:
  • Menunjukkan trend pencapaian akademik yang menaik bermula dengan Take Off Value (TOV) sekurang-kurangnya 80% dalam peperiksaan awam.
  • Pencapaian Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) atau instrumen yang setaraf dengannya sekurang-kurangnya 90% dalam semua dimensi
  • Menerima pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
  • Berjaya melahirkan personaliti-personaliti unggul (towering personalities) yang menerajui kepimpinan negara, negeri, organisasi dan komuniti.
  • Menjadi penanda aras dan contoh bagi sekolah-sekolah lain dari dalam dan luar negara dengan menggunakan piawaian antarabangsa seperti Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Student Assessment (PISA).
  • Wujud permuafakatan yang jitu antara sekolah dengan masyarakat.
  • Mempunyai jaringan yang aktif dengan sekolah-sekolah sama ada di dalam negeri atau pada peringkat antarabangsa.
  • Membina jaringan dengan institusi pendidikan tinggi sama di dalam dan di luar negara dalam pemindahan kredit, kajian tindakan bersama, perkongsian kemudahan dan prasarana.

Ciri-Ciri Sekolah Berprestasi Tinggi
  • Pemimpin Sekolah di SBT mempunyai akauntabiliti dan kredibiliti dalam pengurusan sekolah. Mereka mempunyai autonomi dalam membuat keputusan: memilih kurikulum dan kaedah pengajaran, proses pemilihan serta penempatan semula guru. Pihak pentadbir juga harus menyediakan perancangan strategik dalam menentukan hala tuju sekolah pada sesi tahun berkenaan.
  • Guru Sekolah di SBT seharusnya boleh menyampaikan maklumat, mempunyai akauntabiliti dan kredibiliti dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Penggunaan kaedah pengajaran yang berteraskan ICT dan hands-on. Mereka seharusnya membangunkan potensi yang pada murid-murid bukan sahaja pada peringkat sekolah atau negeri tetapi sehingga ke peringkat antarabangsa.
  • Murid di SBT harus mampu menyediakan sasaran tahunan bagi peningkatan diri sendiri. Mereka diberi kuasa autonomi untuk pembelajaran kendiri, mengendali dan menguruskan diri dan aktiviti sekolah.

 
 
Sekolah Bestari
 
Sekolah Bestari Malaysia ialah institusi pembelajaran yang direka semula secara menyeluruh dari segi amalan pengajaran, pembelajaran, pengurusan sekolah untuk menyediakan pelajar bagi menghadapi ledakan zaman maklumat. Sekolah Bestari berkembang dengan pembentukan staf yang profesional, sumber yang bertambah dan pentadbiran yang cekap. Ini membolehkan sekolah menyesuaikan diri dengan keadaan yang kian berubah. Secara ringkasnya ciri-ciri di Sekolah Bestari ialah
  • Proses pengajaran dan pembelajaran akan berpusatkan pelajar, kesinambungan dan reflektif. Kurikulum di Sekolah Bestari dirancang supaya bermakna, mempunyai tanggungjawab sosial, holistik, global dan terbuka. Amalan ini menggalakkan pembelajaran holistik, membenarkan kanak-kanak maju mengikut tahap pencapaian masing-masing dan mengambil kira keupayaan, minat dan keperluan pelajar yang berbeza-beza.
  • Sistem penilaian fleksibel ini akan membenarkan pelajar dalam satu kelas fizikal untuk belajar pada aras yang berlainan dalam mata pelajaran yang sama. Pelajar akan dibenarkan terus ke aras yang lain dalam mata pelajaran yang berlainan pada bila-bila masa. Dengan cara ini, pelajar kurang cerdas, yang biasanya diabaikan akan diberi perhatian yang sewajarnya.
  • Guru digalakkan untuk membina kemahiran sosial pelajar dan menerap moral dan etika yang baik serta nilai patriotisme. Penggunaan teknologi maklumat sebagai alat akan membolehkan penyimpanan data dan memudahkan pentadbir untuk mendapatkan semula data yang banyak.
  • Pemantauan sistematik kemajuan pelajar akan mengingatkan sekolah tentang perlunya tindakan susulan bagi pelajar pintar dan yang kurang pintar. Penilaian berasaskan unsur dan rujukan kriteria tertentu untuk memberi gambaran holistik dan tepat tentang prestasi pelajar. Penilaian juga menggunakan bahan pengajaran dan pembelajaran konvensional dan elektronik yang sesuai dengan strategi pengajaran dan pembelajaran yang pelbagai.

No comments:

Post a Comment