Saturday, 8 August 2015

PENGENALAN

Inovasi dan perubahan akan berlaku dari semasa ke semasa. Matlamat akhirnya adalah untuk menyumbang kepada perubahan organisasi, perkembangan dan pembangunan negara. Dalam konteks pendidikan, setiap unit atau individu dalam organisasi pendidikan harus bergerak dan sedia berubah dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan

Dalam topik ini, perbincangan akan memfokuskan pada aspek inovasi dan perubahan-perubahan yang berlaku dalam pendidikan. Perubahan yang berlaku ini adalah untuk menyediakan modal insan yang berkualiti dan mampu bersaing pada peringkat global. Sebagai golongan pendidik, bagaimanakah anda sebagai guru harus mengadaptasikan perubahan yang berlaku ini?



Kepentingan Inovasi dan Perubahan Pendidikan
 
Menurut Noriati (2010) inovasi diertikan sebagai suatu cara atau pendekatan terkini dalam melaksanakan sesuatu yang bermanfaat dalam kehidupan manusia. Matlamat inovasi menjadikan kehidupan manusia itu lebih baik yang mendorong ke arah peningkatan produktiviti. Manakala perubahan pula merujuk kepada masyarakat yang mengalami globalisasi perlu sentiasa melakukan perubahan dalam pendidikan sebagai suatu keperluan bagi memastikan amalan yang diguna pakai relevan dan diterima (Swenson, 1997 dalam Noriati).

Jika dilihat pada hari ini perkembangan yang berlaku dalam bidang Teknologi Maklumat adalah begitu pantas. Penggunaan komputer riba telah menjadi suatu keperluan, manakala desktop dianggap ketinggalan zaman. Konsep dunia tanpa sempadan telah menular dalam dunia pendidikan. Pelajar hari ini boleh mendapatkan pelbagai maklumat dan data dari perpustakaan maya. Jelaslah bahawa matlamat inovasi pada hari ini akan menghasilkan perubahan yang positif iaitu;
  • Mampu melahirkan sebuah masyarakat dan negara kreatif.
  • Menjadikan pengajaran lebih menarik kerana menggunakan bahan bantu mengajar yang pelbagai & kreatif
  • Dapat mengembangkan bakat & potensi pelajar.
  • Penyampaian nilai-nilai P&P dapat dijalankan dengan berkesan.
  • Meningkatkan kualiti pendidikan dan dapat meningkatkan kecekapan tenaga pendidik.
  • Menjana idea kreatif pelajar seterusnya dapat menarik minat pelajar untuk belajar

 
Sebagai penegasannya, kaji dan bincangkan ucapan yang dikemukakan di bawah.

“......adalah menjadi satu keperluan untuk kita melonjakkan kecemerlangan sistem pendidikan negara, menjadikannya relevan bukan sahaja untuk memenuhi tuntutan semasa, malahan membina keupayaan (capacity building) untuk mendepani cabaran masa depan”.
(Ucapan YAB Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussien (2007),Menteri Pelajaran Malaysia)

No comments:

Post a Comment